Tuesday, November 17, 2009

NIK AZIZ LA PULAK...

Dah lama saya tidak menulis di blog ini. Cerita Nik Aziz, menantu dan tajaan haji benar-benar menuntut tangan untuk menulis. Saya rasa x percaya dan x mahu percaya tentang cerita yang tersebar. Tetapi pengakuan Tuan Guru membuat saya akur bahawa dia bukan malaikat yang tidak melakukan dosa dan kesalahan. Barangkali ada yang akan berkata, Nik Aziz terima beribu-ribu jer dah bising satu malaya, sedang kalau orang BN, bukan setakat ribu-ribu, 10 juta lagi, senyap jer. Soalnya di sini, salah tetap salah. Dosa tetap dosa. Tidak akan jatuh kesalahan rasuah yang setakat ribu-ribu sebagai dosa ringan dan yang amik juta-juta dosa berat. Apa sahaja dan berapa sahaja yang diambil dan dikatakan rasuah adalah berdosa. Kalau mencuri hukumnya potong tangan. x kiralah curi seringgit atau sejuta. Curi buah pisangpun kena potong tangan. Curi hati jer yang x potong tangan. Begitulah agaknya....Tak apalah Tuan Guru, kadang2 bila kita melakukan kesalahan, kita x sedar. Salah orang kita nampak. Tu sebab ada perumpamaan, gajah depan mata x nampak, kuman seberang laut nampak. Apa-apapun...wa caya lu lah abang Aji....

Wednesday, June 24, 2009

CINTA ORGANIK

Ni telemovie terbaru dalam pembikinan. Arahan pengarah kesayangan Eurofine (sayangla sesikit) Rosli Mohamad. Pelakon Pierre Andre, Fauziah Ghous, Yasmin Hani, Khatijah Tan dan ramai lagi yg hebat2! Cite mengisahkan seorang pemuda yg baru sedar betapa pentingnya makan makanan yang berkhasiat dan yang organik! Mulala dia mencari sayur-sayuran organik. Malangnya dia mula menyusahkan mak dia untuk turut mencari isteri yang organik! X ke pening mak dia. Dapat ke Pierre mencari isteri yg organik? Ha, kalau nak tahu kesudahan cite separa komidi ni, saksikan di kaca tv anda sikit masa lagi.

Saturday, June 13, 2009

ENTAHLA...

Dah seminggu saya balik dari bercuti di Italy. Waktu ini, Jumaat lepas saya tidur macam tak mahu sampai Sabtu. Punyala penat. Saya sebenarnya nak sangat menulis sesuatu tentang percutian itu, tapi tidak ada yang menarik, tidak ada yang mengujakan. Malang amat...8 hari berlalu begitu saja tanpa kenangan indah yang melekat di kotak fikir. Saya lupa hari ke tiga berada di mana dan apa yang berlaku pada hari ke empat tanpa melihat sedikit nota di phone saya. Aneh. Tidak tahu kenapa hati tidak gembira. Tidak tahu kenapa segala yang menarik tidak berjaya membentuk suatu ingatan yang indah. Saya tidak nampak keindahan Venice, kota cinta yang terkenal itu sekalipun itulah kali pertama saya menjejakinya. Entahla... Tika itu bayangan yang lebih indah ialah bilik, katil, tilam dan tidur.... Florance tidak seindah sewaktu saya mengunjunginya 5 tahun dulu. Begitu juga Roma dan Pisa. Entahla.. Cuma saya sedikit gembira tika berada sehari di Switzerland. Melihat Tasik Lugano yang cantik sambil menikmati makan tengahari, melawat kilang coklat dan membeli sebuah jam tangan Fendi di Factory Outlet sebagai kenang-kenangan. Itulah... dan begitulah... Entahla...

Thursday, May 21, 2009

GRED A

Saya cukup berbangga dengan produk Eurofine. Lebih dari 70% produk yang diterbitkan oleh Eurofine mendapat gred A berbanding B. Ini suatu pencapaian yang baik atas kerjasama semua yang terlibat di dalam produksi kami. Memang saya akui sukar untuk melahirkan konsep dan mendapat team yang bagus tetapi alhamdulillah sehingga hari ini Allah beri kami semua itu. Saya amat berharap keadaan ini tidak melekakan kami sebaliknya akan terus menghasilkan produk yang bagus di masa-masa akan datang.

Disenaraikan produk yang mendapat gred A sepanjang tahun 2009

GRED A
1. Mentadak
2. Sedahan Tak Seranting
3. Genggam Tak Tiris
4. Bidadari Mimpi
5. 25 Tahun Menghitung Duka
6. Lafaz Bukan Mainan
7. Mat Bunga
8. Melukut Yang Ganteng
9. Nasi gadang
10. Nine P.I
11. Noktah Pilu
12. Pesan Mak
13. Airmata Buaya

GRED B
1. Andai Ku Tahu
2. Bila Syaitan Berbisik
3. Demi Kasih
4. Kasih Zahra
5. Syawal Buat Bonda
6. Teduhan Kasih



NILAI CINTA

Nilai Cinta adalah tajuk lain yang diberi oleh RTM menggantikan tajuk Firuz Cinta. Rasa sayang jugak dengan tajuk asal. Tapi klien dah nak tajuk Nilai Cinta, apa boleh buat. Terima ajelah seadanya. Sekarang Nilai Cinta sedang buat penggambaran di sekitar KL. Pelakonnya Nabila Huda, Arash Mohd dan Ellie Suriati. Kata Pengurus Produksinya, K. Ina, semua artis nak buat piket pasal telemovie ini sebab kesudahannya ditukar oleh RTM kepada mimpi! Semua artis sayang kepada cite asal yang melibatkan perkahwinan terpaksa seorang bapa angkat dengan anak angkatnya yang lumpuh. Pihak RTM juga pasa asalnya bersetuju dengan cite asal tetapi bimbang jika menyentuh sensitiviti masyarakat. Sayapun sebenarnya x paham kenapa. Kenapa masyarakat tidak boleh menerima perkahwinan seorang bapa dengan anak angkat yang dipelihara sejak lahir? Memang telah wujud perasaan sayang anak dan bapa tetapi mereka tetap bukan muhrim dan sentuhan tetap haram. Jadi apa isunya jika mereka berkahwin? Salah ke? Isu ini yang kita ketengahkan kepada masyarakat. Tapi tak apalah. RTM nak semua babak yang melibatkan perkahwinan adalah mimpi si bapak. Mimpi pun mimpilah. Telemovie ini diarahkan oleh Rosli Mohamad. Harap-harap telemovie ini turut mendapat A nanti seperti yang lain-lain.


Friday, May 15, 2009

FANIZA SAIYED YEOP

Semalam sepatutnya 3 proposal telemovie dibentangkan di RTM termasuklah satu yang ditulis oleh Faniza bertajuk Wan Dah Urut. Dua tajuk lain ditulis oleh Nurhalim selepas perbincangan bersama panel kreatif Eurofine bertajuk Demi Delima dan Tetamu Malam. Malangnya Faniza tidak dapat hadir kerana bapanya Saiyed Yeop meninggal dunia pada hari saya memberitahunya pasal meeting tersebut (13/5/09) Takziah buat Fani dan semoga Allah cucuri rahmat diatas roh aruah.

Saya kenali Fani dah lama iaitu semasa bekerja di Serangkai Filem lagi. Dia seorang yang kreatif dan pastinya banyak cakap. Bila saya kerja di Eurofine, dia pernah jadi pengarah untuk beberapa episod rancangan majalah bertajuk Perspektif. Selepas itu Fani yang bertubuh comel ni jadi suri rumah sepanjang masa dan mula menulis skrip. Banyak skripnya yang disiarkan di TV3 dan RTM bersama syarikat Eurofine dan lain-lain syarikat. Antara hasil tulisannya yang diterbitkan oleh Eurofine ialah drama bersiri Noktah Pilu yang akan ditayangkan bermula 29 Mei ini jam 11 malam di TV2 lakonan Jehan Miskin, Zulhuzaimy, Jalaluddin Hassan, Aida Razwil, Tony Eusoff, Rima Melati, Wan Elyas, Eizlan Yusof dan Dian P.Ramlee.

Selain dari drama tersebut, skrip yang ditulis oleh Faniza pada tahun 2009 ialah telemovie Pabila Syaitan Berbisik, Airmata Buaya, Teduhan Kasih, Bidadari Mimpi, Pesan Mak, Cari Pasal, dan Tiada Lagi. Sekarang Faniza sedang menulis sebuah drama bersiri bertajuk Sara Akashah yang akan melibatkan penggambaran di Vietnam, insyaallah. Boleh dikatakan Faniza adalah seorang penulis skrip yang prolifik. Dalam buat kat Eurofine dia masih mampu menulis untuk Kak Ton - Zaitun Mohd Jiwa, kakak ipar Dato' Siti Nurhaliza. Hebat kawan saya yang sorang ni! Kata Faniza, dia nak cari duit banyak-banyak dan nak buat rumah besar 19 bilik! Heran jugak tu.... Siapala yang nak duduk kat bilik-bilik yang banyak tu.... Anak 3 orang jer.

Walau bagaimanapun saya bangga dengan dia dan saya tahu aruah Saiyed Yeop jugak bangga punya anak yang kreatif dan hebat macam Syarifah Faniza!

Tuesday, May 12, 2009

PERAK OH PERAK

Teman ni orang Perak. IC teman 08. Walaupun lahir dah dekat-dekat Selangor (Slim River), dan dah 8 tahun beli rumah dan duduk kat Nilai, Negeri Sembilan, tapi semangat kenegerian teman tetap kuat. Bila akhir-akhirni kecoh pasal Perak, teman terusik jugak. Bak kata orang, cubit peha kiri, peha kanan terasa jugak sakitnya. Sekarang sana-sini orang bercakap pasal Perak. Suratkhabar muka depan pun cerita pasal Perak. Bukak Buletin Utama pun cite Perak jugak. Hebat Yop! Yang teman bangga sangat tu, ramai orang yang nak berkhidmat kat Perak. Dan yang hebat lagi, Menteri Besar bertukar beberapa kali dalam setahun. Termasuk yang jadi MB Perak dalam 19 jam! Rekod tu Yop! Teman bangga dengan semangat Nizar dan Zambry nak jadi MB. Macam naik jongkang jongkit pulak. Sekejap kat atas, sekejap kat bawah. Sekejap pakai Camry sekejap pakai Perdana.



Nie esok lusa tulat, sibuk lagi orang-orang Perak berkumpul kat bawah pokok, kat depan istana, kat jalanraya, kat mana-mana. Seronok agaknya berkumpul, pegang sepanduk, menjerit dan berarak. Teringat teman masa sekolah rendah, berarak kat jalan masa maulidur rasul. Masa sekolah menengah berarak sambil tiup trompet masa hari merdeka. Bangga weh... terasa orang kat luar, yang berdiri kat tepi-tepi jalan semua tengok teman, nampak teman. Walhal dia orang tak nampak dan tak pedulipun. Teman berkira-kira, apa perasaan orang sekarang yang berarak sebab menyokong si anu dan si anu. Masalahnya si anu tu tahu ke kome berarak dan menjerit tu? Kome dapat apa? Tak ada keroje ke? Teman rasala, kalau diri teman ni, hari-hari duk sibuk kat pejabat, meeting sana sini, tak ada masa teman nak berseronok-seronok berpiket, berdemontrasi. Entahla... Lain padang, lain belalang.



Teringat teman pada kawan sekelas teman kat UiTM, Hanafiah Man. Orang Perak jugak. Pekat Peraknya. Kalau dia bukak mulut aje, mesti tahu dia orang Perak. Walaupun cakap orang putih. Apalagi kalau buat-buat cakap Kelante atau cakap orang KL, memang bunyi Peraknya ketara sangat. Tak boleh ko nak menipu Yop! Hanafiahni memang minat politik. Sekarang jadi editor Malaysia Kini. Paling akhir teman jumpa Hanafiah awal tahun 2008 di Parlimen. Masatu nak pilihanraya. Teman tengah kejar Ahli Parlimen, nak buat program Kawasan Saya. Hanafiah masih macam dulu. Kelakar dan banyak cakap. Ni dah lama tak berSMS dengan dia. Teman tahu dia gembira dengan kehidupannya. Dengan politiknya. Sesekali nampak jugak muka Hanafiah kat TV1 terutama masa debat antara mantan menteri penerangan Datuk Shabery dengan Anwar Ibrahim.



Politikni pada teman sebenarnya macam junk food. Yang suka makan junk foodni budak-budak. Kita yang dewasani pun, sesekali teringin jugak merasa. Tapi kenalah tahu yang junk foodni tak baik untuk kesihatan. Tapi budak-budak peduli apa. Sebab tu orang-orang politikni perangai dia macam bebudak. Sekejap gaduh, sekejap baik. Sekejap nak geng dengan orang itu, sekejap nak geng dengan orang sini. Politik Perak tengah hot, tengah bergolak. Gasak kome la nak beramukpun. Teman takla kisah sangat sebab tanah temanpun adalah sekangkang kucing kat Slim River. (Kangkang kerapun panjang lagi.) Cuma hal Perakni, teman harap jangan sampai tergadai tanah, tergadai maruah dahla Yop!

Monday, April 27, 2009

HARI JADI

Semalam hari lahir saya. Hari ini tak sangka pulak ada majlis makan-makan kat Eurofine.Terima kasih pada Datin yang bawa roti jala dan kari ayam yang sedap. (Buat sendiri ke?) Linda yang bawa laksa yang memang kaw giler - banyak ikan! Jason dan makcik yang beli air dan buah jugak Lazam yang bawa kek besar! Jugak terima kasih pada Fiza yang bawak rendang daging. Semuanya best, semuanya sedap! Yang tak best sebab Ida dan Zu tak ada. Ida pergi Manila, bisnes trip sementara Zu pergi umrah. Moga Zu doakan yang terbaik buat saya dan semua warga Eurofine di depan kaabah....


Sebenarnya pada usia sekarang ni rasa macam malu nak sambut hari jadi. Memang dari kecik lagi saya tak dibiasakan sambut hari jadi. Dan ini diteruskan dengan anak saya Aezie. Tak pernah sambut pun. Tak tahulah nanti kalau dia besar, dia pulak nak mama dia sambut macam budak-budak lain. Usia 42 bukan muda! Tapi saya tetap rasa macam baru berusia 32 tahun!! Kadang-kadang rasa macam remaja 12 tahun. Muda pada hati. Itu yang penting. Tapi tak adalah sampai lupa diri. Dalam usia sekarang rasanya masih banyak yang belum dicapai. Bukan tidak tahu bersyukur dengan apa yang ada, tetapi kepuasan diri masih jauh untuk digapai. Itu yang buat saya terus muda. Setiap hari rasanya terlalu cepat berlalu. Saya perlu kejar masa yang ada selagi ada kudrat, selagi ada kesempatan. Harap-harap saya terus sihat, bertenaga. Dan paling penting terus bahagia!

Monday, April 20, 2009

FIRUS CINTA

RTM panggil meeting proposal Jumaat ni. 3 proposal sangkut. 2 telemovie dan satu magazine. Salah satu telemovie tu, Kalis, tulisan Eizlan Yusuf. Menurut cerita Eizlan, dia dah submit pada RTM dan RTM dah setuju suh dia buat, tapi producer tak sanggup sebab cite tu heavy, banyak aksi dan budget lebih dari biasa. Producer tu akhirnya tarik diri. Orang kuat RTM suh Eizlan tanya Eurofine. Minggu lepas saya submit proposal Kalis tu. Tapi malang pulak Eizlan sekarang tengah berada di Cambodia bersama team LARA, arahan Haizul Anafer Ali. Jugak produksi drama bersiri Eurofine. Tak dapatlah hadir pada Jumaatni. Kita terpaksa tangguh pembentangan proposal Kalis ke satu tarikh yang lain.


Satu lagi telemovie FIRUS CINTA. Saya yang buat konsep dan proposal tu. Sebenarnya saya sendiri tak tahu kenapa tajuknya boleh pergi pada Firus Cinta. Saya pun tak jelas apa maknanya! Pakai taruk jer. Hahaha. Nanti pandai-pandailah temberang. Citenya pasal seorang bapa angkat yang terlalu sayang pada anak gadis angkatnya. Bila isterinya meninggal, anaknya kemalangan, lumpuh. Terpaksa jaga jugak, terpaksa mandikan dan bersihkan najis. Sedangkan mereka bukan muhrim. Konfliknya bermula di situ. Bapa tadi terpaksa kahwin dengan anak angkatnya untuk menghalalkan sentuhan. Bagaimana emosi si bapa dan si anak yang berada dalam situasi sukar begitu? Anak yang dijaga sejak usia bayi kemudian terpaksa dikahwini....


Saya melihat ramai orang mengambil anak angkat. Banyak batas-batas hukum yang dilanggari dalam sedar mahupun tanpa sedar. Anak angkat selama-lamanya tidak boleh menjadi anak kandung dari segi hukum. Begitulah...

BAGAN LALANG






Best! Sabtu kelmarin lepak dengan anak dan cucu saudara kat Bagan Lalang. Ini kali ke tiga kami pergi ke situ. Sebenarnya tujuan pergi cuma nak menggembirakan hati anak-anak mandi laut. Kebetulan rumah saya dengan Bagan Lalang tak begitu jauh. Dalam 40 min perjalanan jer. Dan lagi sebab nak makan ikan bakar yang fresh! Udang, ketam, kerang...best betul!! Yang tak bestnya pantai dan laut semakin tak bersih. Laut dah berlumpur kesan dari pembinaan chalet atas laut. Kat pantai pulak boleh jumpa beberapa ekor ikan mati. Sampah pun banyak jugak. Toilet dan tempat mandi pun amatlah tak menyenangkan mata dan hidung. Tiga empat bulan lepas masih cantik dan bersih. Sebab itu anak-anak sedara saya buat plan nak pergi sebulan sekali. Tapi bila keadaan dah semakin teruk, orang dah semakin ramai, nampaknya kena cari tempat lain je la. Cuma kalau tempat lain mesti jauh dari rumah. Malam minggu, tak bolehlah lepak kat restoran As Salam Nilai sampai kul 2, 3 pagi....makan fried bun dengan tomyam seafood! Kasihan budak-budak, semua kena tidur bila mak bapak lepak macam orang bujang! Nasib anak saudara bawak maid masing-masing. Bolehlah tinggal bebudak kat rumah. Begitulah mak bapak zaman mamak ni....














Thursday, April 2, 2009

BANDING

Pagi tadi saya preview telemovie terbaru Eurofine bertajuk BANDING. Rasa puas menonton telemovie tu. Ia salah satu telemovie yang saya suka dan menarik untuk ditonton. Kisahnya sederhana tetapi olahan dan jalan ceritanya yang ada unsur suspen dan teka teki membuatkan ianya istimewa di samping visual yang cantik. Pelakonnya juga saya kira hebat, terdiri dari Rozita Che Wan, Aida Aris, Mustafa Kamal, Ahmad Tarmimi Siregar, Dian P.Ramlee, Mahmud Ali Bashah dan pelakon cantik Fauziah Ghous. Kesemuanya memberikan komitmen yang baik. Cuma dari segi lakonan, memang masih ada kelemahan di mana-mana. Tetapi rasanya, bagi penonton biasa, barangkali kelemahan tidak begitu nampak ketara. Tahniah buat pengarah Rosli Mohamad Jidin yang menggarap cerita ini dengan cukup baik dan ditambah dengan shot yang menarik. Juga buat Rosmadewi, penulis skrip yang agak sabar menulis kembali skrip ini setelah saya tolak pada draf yang pertama. Teringat bagaimana menghubugi Rosmadewi, menerangkan kembali bagaimana seharusnya watak itu jadi seperti itu, watak ini jadi seperti ini dan lain-lain. Mintak maaflah ya Ros. Tapi dia pasti suka jika dia dia lihat hasil dari kesabarannya ini. Tajuknya juga unik. Ia merupakan nama sebuah tempat di Perak. Banding, kira-kira 35km dari Grik, Perak, terkenal dengan tasiknya yang cukup indah. Banding juga turut memberi makna tentang perbandingan antara sikap 2 sahabat lama, Marsya dan Hana yang menggerakkan cerita ini. Segalanya bermula untuk ke Banding dan berakhir di Banding.

Walau bagaimanapun ada beberapa perubahan perlu dilakukan oleh editor terpantas Eurofine, Mail, malam ini supaya esok saya boleh menghantarnya ke RTM. Tapi tak banyak manapun. 6 bulan di Eurofine, Mail telah menunjukkan pencapaian yang baik di bidang suntingan drama. Tahniah buat Mail. Harapnya telemovie ini turut digemari oleh panel RTM. Amin.....

Friday, March 27, 2009

KELUARGA BAHAGIA

Semalam, Khamis 26 Mac, 5 orang sudent UKM datang interview saya tentang Eurofine, tentang visi, misi dan pengurusan produksi. Interview yang seharusnya dibuat jam 10am hanya bermula pada jam 12.30pm kerana kelewatan mereka sendiri dan berakhir jam 1.30pm. Saya perlu berkejar ke RTM pula kerana menghadiri menyuarat syarikat yang punya kontrak dengan RTM. Dalam 1 jam itu rasanya saya telah beri mereka kefahaman tentang pengurusan staff dan produksi. Harapnya begitulah....


Eurofine punya staff yang telah bekerja sejak tahun 1994 lagi. Saya adalah orang ke tiga yang menyertai Eurofine selepas Ida Rahayu dan Jamil. Syawal yang bertugas sebagai editor telah bekerja lebih dari 10 tahun. Zuraida, Roshidi, Jason telah menyertai Eurofine lebih 8 tahun. Begitu juga dengan Linda. Kami bekerja bagai satu keluarga yang harmoni. Saling memahami tugas dan keperluan syarikat. Gembira bekerja bersama mereka yang mengerti.


Malam ini Linda dan Datin Rozita berangkat ke Cannes, menyertai pasar filem di sana selama seminggu. Mereka punya misi untuk membeli program luar negara untuk dibekalkan ke RTM. Bunyinya nampak indah kerana boleh makan angin ke Peranchis! Tapi hakikatnya, itulah kerja, itulah amanah. Jika tanya pada Linda, dia lebih suka untuk bekerja di office sahaja dari pergi ke Cannes. Dan pemergiannya membuatkan sebahagian tugasnya perlu diambilalih oleh saya dan unit saya. Begitulah keluarga bahagia!

BUAT SEMUA WANITA

Saya rasa wajar untuk memasukkan kata-kata dari blog rakan yang dikasihi.... Noraziah Othman.

Untuk semua wanita yang saya kasihi

TUHAN,
Ku mohon kepadaMu,
Sentiasalah berkati wanita ini dalam apa jua yg dia lakukan.
Janganlah pernah meninggalkan dia keseorangan
kerana dia amat memerlukan cinta kasihMu.
Pimpinlah setiap langkahnya
agar dia terhindar dari segala macam bahaya dan kejahatan.

Aku mohon semua ini kerana
aku menyayangi wanita ini.
Amin....

Saturday, March 21, 2009

IMIGRESEN SUBANG

Imegresen Subang yang berdosa! Berdosa kerana mungkir pada janji! Piagam pelanggan yang dilanggar tanpa sepatah kata maaf! Begitulah....

Ceritanya: -
Nak pi Italy, pasport lak dah nak tamat tempoh bulan July ni. Anak saya, Aezie Nur pun masih belum ada pasport lagi. Nak tak nak, mahu tak mahu, terpaksala jugak pergi buat pasport. Tapi pada mulanya saya tak kisah sebab bila baca piagam pelanggan Imigresen, kalau dah buat bayaran jam 3.30 pm, pasport akan siap dalam masa 2 jam. Hebat!
Jadi pada hari Rabu kelmarin, jam 8.10am saya tiba di Jabatan Imigresen Subang. Punyala ramai umat kat situ. Mungkin pasal cuti sekolah. Nak ambik nomborpun terpaksa beratur sebab orang yang nak bagi nombor tu kena pastikan semua borang dan lain-lain butiran lengkap diisi. Mujur jugak saya dah ambik gambar siap-siap dan dah isi form yang didownload dari internet. Kalau tak lagi naya. Jam 9.20 baru dapat nombor 095! Sementara tunggu nombor dipanggil, saya pekena teh tarik dan kuih di restoran berhampiran - satu-satunya restoran yang ada. Jam 11.20, nombor saya dipanggil. Semuanya lengkap dan tidak punya sebarang masalah. Selepas itu tunggu lagi nombor dipanggil untuk buat bayaran. Hairan jugak, kenapala tak bayar terus masa serah borang tu. Tapi saya masih tak kisah. Perkara kecik jer. Jam 12.25 tghari saya buat bayaran. Dan kali ini saya benar-benar geram bila pompuan yang ambik bayaran tu bagitahu yang pasport saya cuma akan dapat esok! Alasannya - ramai orang dan memang tak sempat siap. Selamba kacang aje dia cakap. Dia tak tahu yang saya datang dari Nilai, dukung anak lagi, terpaksa berulang ke Slim River, Perak untuk ambil abang saya lagi... Tapi apa dia peduli. Bukan masalah dia. Semua tu masalah saya.


Buat Piagam Pelanggan konon! Piagam campak ke laut, kesopanan campak ke longkang. Mujurlah hari itu Tuhan bagi kesabaran yang melampau kepada saya. Alhamdulillah. Saya sedikit tenang walaupun marah. Esoknya, pergi sekali lagi - bawa kereta pergi balik sejauh 530km lagi untuk mengambil pasport. Itulah kepayahan yang sendiri terpaksa tanggung. Imegresen Subang masih di situ - berdosa pada manusia seperti saya. Mujurlah saya cuma akan datang lagi 5 tahun. Kalau 1 tahun, biarlah saya melancong kat Port Dickson jer... tak payah pakai pasport.

BORA OMBAK

Semalam Eurofine buat Press Conference sebuah rancangan majalah bertajuk Jelajah Kasih di Bora Ombak, Ampang. Alhamdulillah segalanya berjalan dengan baik. Tahniah buat Linda yang bertungkus lumus merealisasikan PC tersebut. Juga buat Irwan yang terpaksa balik lewat beberapa hari. Sepatutnya PC tu dibuat pada hari Khamis, 3.30 petang. Semua dah gembira sebab Ketua Pengarah RTM yang baru beberapa hari dilantik ke jawatan tersebut dah beri persetujuan untuk datang. Malangnya Cik Ida batalkan sehari sebelum PC dibuat. Kelam kabut Linda dan Irwan hubungi semua press dan terpaksa fax semula surat jemputan memberitahu tarikh dan masa yang baru. Mujurlah press majalah dan akhbar utama datang jugak. Antaranya dari Utusan, Berita Harian, Harian Metro, NSTP, Jelita dan berita RTM sendiri. Terima kasih daun keladi, lain kali datangla lagi....Turut hadir Puan Hjh Norlina Hj Alawi, pengasas PERNIM dan anak-anaknya, penghuni PERNIM seramai lebih 20 orang.


Bora Ombak bukanlah satu tempat yang bagus untuk buat PC. Ruangnya agak sempit, lantainya hanya dibaluti simen biasa tanpa alas, pentasnya dibiarkan bersepah macamtu aje, toiletnya cuma ada 2, itupun tidak begitu bersih, tidak menarik dan lampu di ruang restorannya malap, gelap! Pihak RTM sukar buat rakaman kerana pencahayaan yang terlalu kurang. Malang sungguh! Mujur KP tak datang kalau tidak bikin malu jer... Linda tak nak buat lagi kat Bora Ombak, katanya. Baguslah... baikla buat kat hotel je di masa-masa akan datang.


Walaupun ada kekurangan di sana sini, namun program Jelajah Kasih mampu menitiskan airmata mereka yang hadir di petang yang suram tu. Klip Video Jelajah Kasih yang hanya berdurasi 5 minit memaparkan kisah sedih kanak-kanak pengidap HIV/AIDS dan anak-anak pengidap HIV/AIDS. Kak Zai, Puan Rohana dari RTM kelihatan beberapa kali mengesat airmata ketika menonton klip video tu. Masa menghirup soto, sekali lagi mereka menangis bila dipertontonkan klip yang berdurasi 30 minit. Saya kira program Jelajah Kasih ini berjaya di tangan pengarah dan penulis skripnya, Haliza Misbun! Saya akan bercerita lagi tentang program ini di masa akan datang.




Monday, March 16, 2009

IDA RAHAYU MD NOOR

Nama Ida Rahayu dah semakin dikenali sejak beliau bertanding jawatan Ketua Puteri. Akhir-akhir ini kedengaran semakin kuat angin bertiup menyatakan Ida bakal memenangi jawatan itu. Entah iya atau tidak, saya tidak begitu mengikuti perkembangannya. Tapi menyorot salah satu tulisan yang saya lampirkan di bawah tulisan Syahrilkadir, nampak gayanya memang ada harapan untuk menang.

Home
Biografiku…
Inikah bakal Ketua Puteri UMNO?
2009 Mac 13
by syahrilkadir
Ida Rahayu Mohd. No0r, 38, bukan lasak macam ex Ketua Puteri Datuk Azalina, bukan control ayu macam present Ketua Puteri Datuk Noraini Ahmad. Penampilannya sangat lari dari imej glamour akak-akak Puteri kita, Ida macam gadis kampung yang baru balik ngaji kat surau je, jarang pakai make-up, belum berkahwin, kalau korang jumpa dia korang ingat dia Cikgu Bedah yang ngajor Bahasa Melayu kat Sekolah Rendah Mukim Penanti.

Tetapi air tenang jangan disangka tiada buaya…tanpa promosi yang memualkan, Ida dikatakan semakin dekat untuk memenangi kerusi Ketua Puteri UMNO yang baru okay! Satu perkara yang ramai orang tak tahu juga ialah, Ida merupakan jutawan dan pemilik EUROFINE (M) Sdn. Bhd. (Eurofine), sebuah syarikat produksi tempatan yang aktif menerbitkan program-program televisyen (TV) seperti drama, telemovie, sitkom, dokumentari dan filem. Ida pernah menerbitkan filem Anaknya Sazali dan filem animasi Putih.

Aku difahamkan, dalam ramai-ramai yang hendak bertanding untuk jadi Ketua Puteri, beliau satu-satunya yang tidak bercadang untuk menerima tawaran sebagai timbalan menteri atau menteri sekiranya memenangi kerusi tersebut. Ini kerana dia mahu concentrate 100 percent dalam Puteri, tak mahu duduk dalam kerajaan, wow!!!
yelah dia pun dah kayakan…
apapun hujung bulan ini akan menyaksikan sama ada sejarah akan tercipta atau tidak, gud luck Ida!
-----------------------
Itulah kata-kata penulis ini. Lawak jugak kata-kata dia. Tapi apa yang dia kata memang ada kebenarannya. Buat Ida Rahayu, semoga berjaya! Dan sekiranya berjaya harap-harap ianya akan membawa kebaikan dan kejayaan bukan sahaja kepada semua ahli Puteri tetapi juga kepada Eurofine! Doa saya mengiringinya....

ITALY

Eurofine akan bercuti ke Italy! Seronoknya!! Pegi 30hb Mei selama 8 hari. Antara yang akan dikunjungi ialah Roma, Vatican City, Florance, Pisa, Venice, Verona dan Milan. Sebenarnya saya berharap biar tak pergi ke Italy sebab saya dah pernah bercuti sakan kat sana pada tahun 2003. Walaupun dah lama, tapi masih segar lagi dalam ingatan keadaan di Roma, Pisa dan Florance. Cuma yang teringin nak dikunjungi ialah Venice. Tak apalah. Janji free! Dan paling menggembirakan bila 99% staff Eurofine dapat pergi kecuali Fiza, salah seorang yang bekerja di bahagian akaun. Kasihan dia. Dia tak sanggup tinggal anak sebab trip kalini cuma boleh bawak suami atau isteri sahaja. Mujurlah Syawal, salah seorang editor yang dah bekerja lebih 10 tahun dapat pergi sebab anak dia belum berumur 2 tahun. Aezie Nur? Anak saya dah berumur 2 tahun 6 bulan. Aezie dikecualikan sebab saya salah seorang pengarah syarikat. Kalau dia tak pergi, memang saya tak nak pergi jugak.


Sebenarnya dah banyak negara yang saya lawati sejak 1994 antaranya Peranchis, India (2 kali), Korea, Australia (2 kali), Italy, New Zealand (2 kali) selain Bali dan Singapore. Saya pernah jugak jejak London, Cardiff dan Manchester. Antara sebab lawatan kerana kerja dan selebihnya melancong.


Pada bulan July nanti saya bercuti lagi ke China bersama Dr Marry Hana, kawan baik saya. Semalam di Matta Fair Hana dah beli ticket. Nampaknya tahunni, tahun berjalan sakan. Hahaha. Tahun lepas tak pergi mana. Cuti-cuti dalam negara jer.
Sebenarnya trip ke Italy untuk semua staff Eurofine adalah sebagai membalas jasa baik semua warga kerja Eurofine yang telah bekerja kuat dan setia dalam masa susah dan senang. Tahunni ada rezeki lebih sikit, Presiden Eurofine, Cik Ida Rahayu bermurah hati nak belanja anak-anak buah. Terima kasih. Lain kali kalau rezeki lebih banyak Eurofine akan bawa anak-anak staff sekali. Insyaallah....

Thursday, March 5, 2009

TAJUK DRAMA

Pening bila nak cari tajuk yang sesuai. Pihak RTM nak tajuk yang komersial. Tak nak tajuk Tijah, Munah. Nak tajuk yang boleh dijual. Sekali orang tengok tajuk tu, orang akan nak tengok ceritanya. Kata panel RTM, Eurofine ni tak pandai cari tajuk. Saya akui. Tapi taklah semuanya tak sedap. Ada gak yang menarik dan catchy. Di sini saya letak tajuk-tajuk telemovie yang diterbitkan pada tahun 2008 hingga 2009:-


1) Sapu Bersih
2) Bila Syaitan Berbisik
3) Kembali
4) Melukut Yang Ganteng
5) Sisa Bahagia
6) Andai Ku Tahu
7) Senyumlah Papa
8) Mentadak
9) Taj Mahal Untuk Mama
10) Airmata Buaya
11) Ash & Aeri
12) Sedahan Tak Seranting
13) Dia Yang Kucinta
14) Demi Kasih
15) Mil
16) Teduhan Kasih
17) Puisi Buat Anis
18) Bidadari Mimpi
19) Alfi Di Hati Ibu
20) Genggam Tak Tiris
21) Lemas Dalam Cinta
22) Nasi Gadang
23) Kita Berdua
24) Pesan Mak
25) Bebaskan Rindu
26) Kasih Zahra
27) Aku Punya Kamu
28) Cari Pasal
29) Mama Nenek
30) Airmata Ibu
31) Azam
32) Mat Bunga
33) Teratak Kasih Tok Mak
34) Lafaz Bukan Mainan
35) Syawal Buat Bonda
36) Sumbang Senada
37) Banding
38) Ratu Gelak
39) Terlebih Sudah
40) Defisit Jiwa

Tepat 40 buah telemovie tak termasuk drama bersiri. Terasa bangga jugak boleh buat telemovie sebanyak itu dalam masa 12 bulan. Bermula bulan Mac 2008 sehingga kini. Terfikir jugak dalam diri, di mana Eurofine di tahun-tahun sebelum ini...Alhamdulillah. Rezeki anak-anak.

Berbalik cite tajuk, ada ketikanya saya dan rakan-rakan lain memerlukan 4 jam hanya untuk satu tajuk. Ada ketikanya pulak dah ada tajuk, cerita tak ada lagi, macam cite Pabila Syaitan Berbisik. Ada masa hantar sinopsis ke RTM pakai tajuk lain. Panel tak suka dan suruh tukar. Kalau Lazam punya tajuk mesti yang tradisional, klasik. Mula-mula nak gelak jugak, nak tolak, tapi bila fikir dan tenung-tenung rasa ok pulak. Dan RTM pun suka. Antara tajuk diberi Lazam yang saya, Zu dan Datin anggap klasik macam Genggam Tak Tiris, Sedahan Tak Seranting. Tapi menarik jugak sebenarnya. Tak tahulah penonton di luar sana macammana. Lazam bukan main hepi bila tajuknya dipilih. Semangat dia semakin membara. Bagus bila ada Lazam dalam meeting konsep. Ada penyeri, kata Datin.

Tuesday, March 3, 2009

IDEA BARU - PAYAHNYA!!!

Hari ini sepatutnya ada meeting proposal di RTM. 3 buah telemovie telah dipilih bertajuk Pahitnya Realiti, Defisit Jiwa dan Ratu Gelak. Namun malam tadi jam 9pm, saya terima panggilan telefon dari Linda, VP Brand yang punya hubungan baik dengan pihak RTM memberitahu yang meeting hari ini ditunda kerana tidak cukup panel penilai. Saya terpaksa memberitahu semua penulis dan pengarah tentang perkara tersebut. Lalu pagi ini setelah selesai meminta budget untuk produksi yang tengah berjalan, saya mengadakan meeting konsep dengan dihadiri oleh Zuraida, Datin Rozita dan Lazam. Tepat jam 5 petang kami cuma selesai menyediakan sebuah konsep telemovie yang akan ditulis oleh Datin. Semalam, Isnin, sebuah konsep telemovie lahir dari idea pertama Irwan, staf yang hari pertama bertugas sebagai Production Executive! Ok jugak kepala dia... sekalipun idea itu ditambah lebih 80% tetapi Irwan memberi semangat kepada semua panel kreatif Eurofine!



Rasanya amat payah melahirkan konsep setelah lebih 30 buah telemovie yang dihasilkan sejak Jun 2008 sehingga kini. Kami kekeringan idea. 4 kepala yang digunakan, cuma sesekali Che Li, penulis freelance menyertai meeting kami dan melahirkan 2 buah telemovie bertajuk Mentadak dan Melukut Yang Ganteng. Pernah jugak kami menjemput penulis lain menyertai kami tetapi tidak mendapat sambutan. Tapi kami punya semangat yang kuat. Usaha melahirkan idea kreatif memang minat kami. Cerita yang kami hasilkan pelbagai dan kami mencari kelainan di dalam setiap drama yang dihasilkan. Kami mahu pihak RTM berpuashati. Kami mahu penonton beraleh menonton TV2 dan menonton drama terbitan kami. Pelakon yang hebat-hebat menjadi pertaruhan dan memudahkan pihak RTM mencari penaja. Itu harapan kami semua di Eurofine. Dan alhamdullillah lebih dari separuh penerbitan Eurofine memperolehi gred A! Namun perjalanan ini masih panjang... Banyak lagi yang perlu dilakukan dan saya akan memastikan Eurofine berjalan dilandasan yang betul dengan bantuan semua warga kerja yang setia, jujur, kreatif dan komited. Insyaallah.

Tuesday, February 24, 2009

MGS, IPOH

Kelmarin saya terima sebuah novel dari seorang kawan lama bernama Noraziah Othman atau lebih dikenali dikalangan kawan-kawan sebagai Azie. Sekarang nama penanya Nor Alya! Novel bertajuk Memori Janji Kasih itu adalah novel sulung Azie! Saya bangga dengan dia. Teringat zaman sekolah dulu. Kami sama-sama menuntut di MGS, Ipoh. Dia salah seorang penuntut Melayu yang bijak dan masa tu dia jadi pengawas. Saya masih ingat bagaimana Azie dan kawan baiknya Ghazlina Ghazali selalu mengawasi kelas saya yang agak nakal terutamanya saya! Masatu, saya yang suka tulis cerpen dan cerita panjang ala-ala novel. Tapi taklah diterbitkan. Cuma tulis dalam buku berkulit keras dan lepas siap bagi kawan-kawan baca dan komen, termasuklah Azie. Tapi sampai sekarang saya belum lagi menghasilkan novel sedangkan Azie dah berjaya menempatkan nama sebagai penulis novel! Tahniah Azie! Membaca blog Azie http://diari-alya2.blogspot.com saya dapat tahu yang Azie sedang buat novel ke dua. Hebat! Semoga berjaya.

Mengingati Azie, tidak dapat tidak kenangan lampau mengusik rasa. Zaman persekolahan, zaman di waktu saya langsung tidak mahu memikir masa depan, zaman yang penuh gembira, sedih, kecewa, bahagia. Ngeri memikirkan waktu itu. Tapi rasanya berkat doa ayah dan aruah mak yang mahukan saya berjaya, alhamdulillah kini rasanya saya sedikit berjaya. Berjaya dalam pemahaman dan tafsiran saya sendiri. 'Nasib baik jadi orang' - kata Nafisah, juga rakan sebaya dari MGS, Ipoh yang saya temui kembali selepas berpisah lebih dari 20 tahun! Nafisah kini seorang guru yang berjaya dan hidup bahagia bersama anaknya Danny di Ipoh. Berbual bersama Nafisah di rumahnya sempena Aidilfitri yang lalu, mengimbau sejarah lampau yang terlampau. Hahaha. Amat tak disangka Nafisah yang dulunya tak pernah berdisiplin dan banyak melanggar peraturan sekolah, hari ini jadi guru disiplin! Tak masuk akal. Tapi itulah realiti kehidupan. Noraziah Othman, budak bijak aliran sains tulin, turut berjaya dalam bidang yang bukan bidangnya - penulisan kreatif! Macam saya, juga aliran sains tulin. Belajar kimia, biologi, fizik, matematik tambahan .... tup-tup masuk bidang komunikasi massa. Jadi Penerbit Eksekutif.


MGS, Ipoh .... Masih ingat lagi pada rambut kerinting Azie, senyum manis dia dan ketawa dia. Rakan-rakan lain, Shamsiah, Sariah, Rus Anita, Salni, Megawati, Ayu, Zahida, Hamidah Idut, Norliza dan ramai lagi....Saya amat berharap dapat bertemu dengan mereka suatu hari. Sehingga kini saya masih berhubung dengan Aida anak Datuk Khamsiyah Yeop, Norli dan Nafisah. Dan Selasa lepas di Prince Court Medical Center saya terlihat nama Ghazlina Ghazali dan gambar iras wajahnya. Mungkinkah dia? Dan saya tercari-cari dua senior saya, Rosmini Karim dan Dr Shaharom Abdullah. Dimanakah mereka?

PABILA SYAITAN BERBISIK

Jumaat ini 27 Februari, jam 8.00 mlm sebuah lagi telemovie terbitan Eurofine akan disiarkan di RTM2 bertajuk Pabila Syaitan Berbisik. Telemovie yang dibintangi oleh Ayu Raudhah, Remy Ishak, Jalaluddin Hassan dan Dian P.Ramlee ini ditulis oleh Syarifah Faneeza Syed Yeop berdasarkan cerita asal oleh panel skrip Eurofine. Cerita penuh mesej ini mengisahkan bagaimana seorang anak gadis bernama Julia yang ingin hidup mewah sehingga sanggup mendengar bisikan syaitan untuk menggoda kawan baik bapanya sendiri, Is yang juga merupakan bapa angkatnya dan menghancurkan hati ibu angkat yang selama ini menganggapnya sebagai anak sendiri.
Citenya simple je, tapi ia akan jadi peringatan pada kita semua. Kita kat duniani, kalau tak ada syaitan, mesti baik-baik belaka. Tapi nak tak nak, syaitan dah memang ada. Cuma, kita dibagi akal untuk fikir mana yang baik, mana yang buruk. Fikir macammana nak menepis bisikan dan godaan syaitan. Masalahnya, ada manusia yang syaitan tak payah bisikpun, tapi dia sendiri lak yang nak jadi syaitan. Masyaallah....
Sebenarnya cerita Pabila Syaitan Berbisikni kita orang nak buat di Kemboja sekali dengan drama bersiri Lara. Barulah nampak lebih hebat. Tapi tak jadi sebab RTM nak tayang telemovieni pada bulan Februari sedangkan Lara baru je shoot 18 Februari lepas. Walau bagaimanapun citeni memang bagus di bawah arahan Reen. Ayu Raudhah yang membawa watak Julia memperlihatkan lakonan yang mantap. Adik Rozita Che Wan ini, sekalipun dari segi wajah, taklah secantik kakaknya tapi dari segi lakonan dia sememangnya hebat! Remy Ishak? Wow! Saya memang jatuh cinta dengan mamatni! Handsome, macho! Lakonanpun bagus. Walaupun dalam telemovie ini peranan yang dimainkan oleh Remy taklah banyak mana, tapi dia mempamerkan lakonan yang bakal membuat penonton ingat pada wataknya. Itu kelebihan Remy! Dan Eurofine dapat bekerjasama lagi dengan Remy dalam sebuah lagi telemovie bertajuk Mat Bunga. Di dalam telemovie tu Remy pegang watak utama. Nanti saya akan cerita pulak pasal telemovie itu. Best, kelakar cite tu.
Ok...jumpa lagi.

Tuesday, February 17, 2009

RPK

Membaca nota terakhir RPK hari ini di Malaysia Today membuatkan saya loya. Pun ada juga sedikit perasaan lucu. Teringat zaman kanak-kanak apabila merajuk terasa tak nak makan, tak mahu tidur dan mahu mati, biar orang lain sedih dan terasa kehilangan kita. Ini yang cuba dilakukan oleh RPK. Beliau mahu menjadi hero dan mahu menagih simpati yang amat keterlaluan. Kasihan RPK! Masih belum dewasa rupanya, patutlah rambutnya masih belum tumbuh. Hahaha. Orang yang seperti ini bukan patut dihantar ke ISA tapi dirujuk kepada pakar psikologi. Membuang masa melayan karenah budak-budak yang kononnya punya agenda besar untuk menyelamatkan negara sedangkan dia hanya mahu jadi seperti Superman atau Spiderman sahaja! Dan simpati saya turut kepada penyokong setia beliau yang menjadikan RPK sebagai escapism untuk melepaskan perasaan marah yang bersarang dalam fikiran, dalam hati sedangkan orang yang seperti ini tidak tahu apa-apa, sekadar pak turut.
Kepada semua rakyat Malaysia - cukup-cukuplah mengagungkan manusia yang mahu membunuh diri seperti PRK. Kita ada banyak tugas lain yang perlu dilakukan. Tugas untuk diri dan keluarga. Tak payahlah nak sibuk hal negara kalau diri dan keluarga sendiri tidak terjaga, jiran kita tidak diberi perhatian dan saudara mara kita yang dalam kesusahan tidak dibantu. Jadilah manusia yang sayangkan diri, keluarga, rakan juga jiran tetangga. Buangkan rasa marah dan benci kepada sesuatu yang kita tidak pasti. Hiduplah dalam harmoni di luar mahupun di dalam hati.....

Tuesday, February 10, 2009

EUROFINE (M) SDN. BHD.

Eurofine (m) Sdn. Bhd. ditubuhkan pada tahun 1991 dengan membekalkan program luar negara kepada RTM. Pada tahun 1994, Eurofine mula menerbitkan program majalah TV yang bertajuk PERSPEKTIF. Dengan kualiti penerbitan yang baik dan kandungan yang mantap, rancangan Perspektif bertahan sehingga musim yang ke 13 dengan melakukan pelbagai perubahan setiap musim. Majalah TV Perspektif ini juga telah dijual ke beberapa buah negara hasil inisiatif Presiden Eurofine sendiri Cik Ida Rahayu Datuk Md. Noor. Kejayaan penerbitan rancangan ini telah memberi semangat kepada warga Eurofine untuk menghasilkan program selain majalah seperti drama bersiri, telemovie, dokumentari, masakan, game show dan animasi. Eurofine juga turut menerbitkan dua buah filem bertajuk Anaknya Sazali dan Putih.


Beberapa buah drama Eurofine telah mendapat pengiktirafan seperti telemovie Amy Anuar, hasil skrip Azlina Din telah menggondol 7 anugerah dalam Anugerah Seri Angkasa 1999 dan Azlina Din turut berjaya mendapat anugerah penulis skrin terbaik. Amy Anuar, sebuah drama mengenai HIV dan pelacuran maknyah turut dinobatkan sebagai telemovie terbaik. Selain dari itu drama bersiri Sumayyah arahan Erma Fatima turut mengharumkan nama Eurofine apabila dinobatkan sebagai drama bersiri terbaik dalam Anugerah Seri Angkasa 2004 dan berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM50K! Antara finalis yang bertanding termasuklah drama bersiri Sephia, Emansipasi, Dalam Hati Ada Cinta siri 2 dan Astana Idaman.


Drama terbitan Eurofine turut dapat disaksikan di TV3 dan Astro selain RTM. Antara drama bersiri yang popular ialah Cinta Batu Belah, Villa Cinta Daddy, Sumayyah, Anak Teruna, Ika, Kutub Utara Kutub Selatan dan Seri Kaya. Sehingga tahun 2007 Eurofine (m) Sdn. Bhd. telah menerbitkan lebih dari 2000 jam rancangan TV perbagai genre.


Bermula pada tahun 2008, Eurofine telah dapat kontrak penerbitan sebanyak 500 jam setahun daripada Kementerian Kewangan berdasarkan kualiti dan kemampuan serta komitmen tenaga kerja Eurofine. Pemilikan 29% saham oleh Perbadanan Nasional Berhad (PNS) di dalam Eurofine sejak tahun 1998 menjadi sebab utama penganugerahan penerbitan 500 jam tersebut. Bagi seluruh warga Eurofine, pemberian ini dianggap suatu amanah, satu tanggungjawab untuk menghasilkan program yang bermutu bagi tontonan masyarakat. Itu suatu janji.