Tuesday, February 10, 2009

EUROFINE (M) SDN. BHD.

Eurofine (m) Sdn. Bhd. ditubuhkan pada tahun 1991 dengan membekalkan program luar negara kepada RTM. Pada tahun 1994, Eurofine mula menerbitkan program majalah TV yang bertajuk PERSPEKTIF. Dengan kualiti penerbitan yang baik dan kandungan yang mantap, rancangan Perspektif bertahan sehingga musim yang ke 13 dengan melakukan pelbagai perubahan setiap musim. Majalah TV Perspektif ini juga telah dijual ke beberapa buah negara hasil inisiatif Presiden Eurofine sendiri Cik Ida Rahayu Datuk Md. Noor. Kejayaan penerbitan rancangan ini telah memberi semangat kepada warga Eurofine untuk menghasilkan program selain majalah seperti drama bersiri, telemovie, dokumentari, masakan, game show dan animasi. Eurofine juga turut menerbitkan dua buah filem bertajuk Anaknya Sazali dan Putih.


Beberapa buah drama Eurofine telah mendapat pengiktirafan seperti telemovie Amy Anuar, hasil skrip Azlina Din telah menggondol 7 anugerah dalam Anugerah Seri Angkasa 1999 dan Azlina Din turut berjaya mendapat anugerah penulis skrin terbaik. Amy Anuar, sebuah drama mengenai HIV dan pelacuran maknyah turut dinobatkan sebagai telemovie terbaik. Selain dari itu drama bersiri Sumayyah arahan Erma Fatima turut mengharumkan nama Eurofine apabila dinobatkan sebagai drama bersiri terbaik dalam Anugerah Seri Angkasa 2004 dan berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM50K! Antara finalis yang bertanding termasuklah drama bersiri Sephia, Emansipasi, Dalam Hati Ada Cinta siri 2 dan Astana Idaman.


Drama terbitan Eurofine turut dapat disaksikan di TV3 dan Astro selain RTM. Antara drama bersiri yang popular ialah Cinta Batu Belah, Villa Cinta Daddy, Sumayyah, Anak Teruna, Ika, Kutub Utara Kutub Selatan dan Seri Kaya. Sehingga tahun 2007 Eurofine (m) Sdn. Bhd. telah menerbitkan lebih dari 2000 jam rancangan TV perbagai genre.


Bermula pada tahun 2008, Eurofine telah dapat kontrak penerbitan sebanyak 500 jam setahun daripada Kementerian Kewangan berdasarkan kualiti dan kemampuan serta komitmen tenaga kerja Eurofine. Pemilikan 29% saham oleh Perbadanan Nasional Berhad (PNS) di dalam Eurofine sejak tahun 1998 menjadi sebab utama penganugerahan penerbitan 500 jam tersebut. Bagi seluruh warga Eurofine, pemberian ini dianggap suatu amanah, satu tanggungjawab untuk menghasilkan program yang bermutu bagi tontonan masyarakat. Itu suatu janji.

No comments:

Post a Comment