Tuesday, February 24, 2009

MGS, IPOH

Kelmarin saya terima sebuah novel dari seorang kawan lama bernama Noraziah Othman atau lebih dikenali dikalangan kawan-kawan sebagai Azie. Sekarang nama penanya Nor Alya! Novel bertajuk Memori Janji Kasih itu adalah novel sulung Azie! Saya bangga dengan dia. Teringat zaman sekolah dulu. Kami sama-sama menuntut di MGS, Ipoh. Dia salah seorang penuntut Melayu yang bijak dan masa tu dia jadi pengawas. Saya masih ingat bagaimana Azie dan kawan baiknya Ghazlina Ghazali selalu mengawasi kelas saya yang agak nakal terutamanya saya! Masatu, saya yang suka tulis cerpen dan cerita panjang ala-ala novel. Tapi taklah diterbitkan. Cuma tulis dalam buku berkulit keras dan lepas siap bagi kawan-kawan baca dan komen, termasuklah Azie. Tapi sampai sekarang saya belum lagi menghasilkan novel sedangkan Azie dah berjaya menempatkan nama sebagai penulis novel! Tahniah Azie! Membaca blog Azie http://diari-alya2.blogspot.com saya dapat tahu yang Azie sedang buat novel ke dua. Hebat! Semoga berjaya.

Mengingati Azie, tidak dapat tidak kenangan lampau mengusik rasa. Zaman persekolahan, zaman di waktu saya langsung tidak mahu memikir masa depan, zaman yang penuh gembira, sedih, kecewa, bahagia. Ngeri memikirkan waktu itu. Tapi rasanya berkat doa ayah dan aruah mak yang mahukan saya berjaya, alhamdulillah kini rasanya saya sedikit berjaya. Berjaya dalam pemahaman dan tafsiran saya sendiri. 'Nasib baik jadi orang' - kata Nafisah, juga rakan sebaya dari MGS, Ipoh yang saya temui kembali selepas berpisah lebih dari 20 tahun! Nafisah kini seorang guru yang berjaya dan hidup bahagia bersama anaknya Danny di Ipoh. Berbual bersama Nafisah di rumahnya sempena Aidilfitri yang lalu, mengimbau sejarah lampau yang terlampau. Hahaha. Amat tak disangka Nafisah yang dulunya tak pernah berdisiplin dan banyak melanggar peraturan sekolah, hari ini jadi guru disiplin! Tak masuk akal. Tapi itulah realiti kehidupan. Noraziah Othman, budak bijak aliran sains tulin, turut berjaya dalam bidang yang bukan bidangnya - penulisan kreatif! Macam saya, juga aliran sains tulin. Belajar kimia, biologi, fizik, matematik tambahan .... tup-tup masuk bidang komunikasi massa. Jadi Penerbit Eksekutif.


MGS, Ipoh .... Masih ingat lagi pada rambut kerinting Azie, senyum manis dia dan ketawa dia. Rakan-rakan lain, Shamsiah, Sariah, Rus Anita, Salni, Megawati, Ayu, Zahida, Hamidah Idut, Norliza dan ramai lagi....Saya amat berharap dapat bertemu dengan mereka suatu hari. Sehingga kini saya masih berhubung dengan Aida anak Datuk Khamsiyah Yeop, Norli dan Nafisah. Dan Selasa lepas di Prince Court Medical Center saya terlihat nama Ghazlina Ghazali dan gambar iras wajahnya. Mungkinkah dia? Dan saya tercari-cari dua senior saya, Rosmini Karim dan Dr Shaharom Abdullah. Dimanakah mereka?

No comments:

Post a Comment